150 AHLI SUKTRA DIRAI DALAM MAJLIS TEMU MESRA REUNION 2022

Ditulis pada .



Kerajaan Negeri Terengganu meraikan 150 ahli dan bekas ahli Kumpulan Pemuzik dan Penari Tetap Negeri Terengganu (SUKTRA) pada 11 Julai 2022 lalu.
Mereka diraikan dalam Majlis Temu Mesra Reunion 2022 di Hotel Primula, Kuala Terengganu. Apa yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri itu sebagai usaha menghargai ahli SUKTRA yang sebelum ini pernah mengharumkan nama Terengganu dan negara di peringkat antarabangsa, termasuk Eropah, Singapura dan Hong Kong. Antara aktiviti utama kumpulan itu adalah tarian- tarian rakyat dan tarian tradisional, gamelan dan nyanyian lagu rakyat.
SUKTRA yang mula ditubuhkan pada 1974 dan kini berusia 48 tahun itu masih aktif mengharumkan nama Terengganu dan tidak jemu membuat persembahan dalam pelbagai program anjuran kerajaan, agensi swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Majlis yang diserikan dengan pelbagai persembahan dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Mulia (YBM) Tengku Seri Bijaya Raja.
Turut hadir meraikan majlis adalah To' Puan Nor Zaini bin Abd Latiff, isteri YBM Setiausaha Kerajaan Negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) mantan-mantan Setiausaha Kerajaan, Setiausaha-setiausaha Kehormat dan lain-lain pegawai dan individu yang pernah terlibat sama dengan SUKTRA.

TERENGGANU TERIMA KUNJUNGAN PELANCONG SWITZERLAND

Ditulis pada .

Seramai 32 pelajar dari HFT University, Switzerland yang kini berkunjung ke Terengganu, sempat dibawa mengenali beberapa produk pelancongan yang terdapat di sekitar Kuala Terengganu. Antara yang sempat dilawati, adalah Kampung Budaya Terengganu (KBT) yang terletak di Kampung Bukit Losong, Kuala Terengganu. Di KBT, mereka diberi penerangan mengenai kesenian dan kebudayaan merangkumi seni bina, monumen rumah-rumah warisan, selain berpeluang merasai pengalaman membuat dan mengoreng keropok lekor. Antara aktiviti lain yang turut dilakukan mereka adalah, belajar menganyam tikar mengkuang, mencanting batik, persembahan muzik gamelan, mencuba permainan tradisional dan merasai pelbagai hidangan tradisional Terengganu.
Lawatan pada sebelah petang diakhiri dengan lawatan ke Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal. Turut hadir sama menyantuni pelajar Switzerland terbabit, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Yang Berusaha En. Fadli Yusof bin Zakaria. Pada sebelah malamnya, pelajar terbabit turut dibawa menikmati makan malam di TTI Crystal Cruise sambil menelusuri Sungai Terengganu. Pembukaan bascule jambatan angkat serta pengcahayaan lampu festival pada malam itu turut memberikan rasa teruja buat semua pelajar. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Yang Mulia Tun Faisal Tun Abdul Razak turut hadir menyantuni delegasi pelajar Switzerland tersebut.

KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA PESURUHJAYA TINGGI BRITISH

Ditulis pada .

Kerajaan Negeri Terengganu telah menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi British, Charles Hay pada 15 Jun 2022 lalu. Beliau turut meluangkan masa melawat Kampung Budaya Terengganu yang terletak di Kampung Losong, Terengganu. Lawatan singkat ke Kampung Budaya Terengganu petang tadi disambut oleh Y.Brs Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, En. Fadli Yusof Zakaria serta pegawai-pegawai Jabatan. Delegasi TYT turut dihadiri sama oleh Kaunselor Politik British Mr. Tom Sheperd, serta dua pegawai Kedutaan Puan Norfaizah Ismail dan Cik Charis Yeap. TYT turut diberi penerangan mengenai dengan produk-produk yang terdapat di KBT, dan melawat monumen serta mencuba beberapa makanan tradisional yang terdapat di Kampung Budaya Terengganu. Let’s Visit Beautiful Terengganu, stay safe.