MPC DAN JPNT ANJUR BENGKEL PENINGKATAN PRODUKTIVITI PELANCONGAN NEGERI TERENGGANU
KUALA TERENGGANU: Kira-kira 50 peserta termasuk wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan, GLC, NGOs Pelancongan, penggiat industri pelancongan dan wakil Community Based Tourism (CBT) menghadiri Bengkel Peningkatan Produktiviti Pelancongan Negeri Terengganu di Muzium Negeri Terengganu, semalam.
Encik Mohd Yazid bin Abdul Majid, Pengarah Seksyen Pengurusan moden dan Teknologi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkata bengkel sehari anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) adalah bertujuan untuk meningkatkan produktiviti sektor pelancongan Terengganu dan mewujudkan kolaborasi di antara pelbagai pihak terutama peringkat persekutuan, kementerian, agensi negeri berkaitan dan pengiat industri pelancongan.
Pada masa sama, mencari jalan pintas untuk mengerakkan lagi industri pelancongan Terengganu di samping merancang pelan tindakan secara sistematik dan jangka panjang.
Usaha itu diyakini dapat membantu Terengganu dan juga Malaysia bagi meningkatkan jumlah kemasukan pelancong selain sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pembentangan kertas turut dilakukan oleh Pengarah JPNT, Encik Ahmad Ridzwan dan Abd Rahman dan Champion Nexus Produktiviti (NPC), Encik Rohizam bin Md Yusof.
Turut sama diadakan adalah inisiatif Program Persijilan Perniagaan Malaysia Tourism Excellence (Matex) yang bertujuan mengiiktiraf produk pelancongan yang berkualiti dan mencapai taraf produk pelancongan cemerlang.