Majlis Pelancaran Visit Beautiful Terengganu 2017
Majlis Pelancaran Visit Beautiful Terengganu 2017 telah disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada jam 8.30 malam, hari Sabtu, 31 Disember 2016 yang lalu di Duyong Marina Resort.
Antara pengisian program di Duyong Marina Resort baru-baru ini adalah pertunjukan persembahan gimik Fly Board & Musical Light, Jet Ski Light, Laser Mapping & Hologram Water Screen serta pertunjukan bunga api. Pihak sekretariat Beautiful Terengganu Trail menjangkakan lebih 10 ribu pengunjung yang bakal hadir dalam karnival tersebut yang dilangsungkan selama tiga hari.
Bagi memeriahkan lagi program ini, pihak sekretariat juga telah menyediakan sarapan pagi nasi lemak secara percuma kepada 1000 pengunjung terawal yang datang ke karnival bermula jam 9.00 pagi sehingga habis selama tiga hari berturut-turut.
Pihak Beautiful Terengganu Trail melibatkan promosi produk-produk pelancongan yang ada di semua lapan daerah Terengganu untuk diperkenalkan kepada pengunjung dalam dan luar negeri ini juga termasuk pelawat dan pelancong antarabangsa.
Sidang akhbar majlis pelancaran Visit Beautiful Terengganu 2017 telah dibuat oleh Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri merangkap Adun Air Putih YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar di Pulau Warisan.
Sumber asal dari TerengganuTimes.com