Lawatan Familiarization Perwakilan Asing Ke Terengganu
Lawatan Familiarization Perwakilan Asing Ke Terengganu
Program kunjungan seramai 18 duta sempena Lawatan Familiarisation Perwakilan Asing Ke Terengganu untuk memberi peluang kepada kerajaan negeri dalam mempromosikan pelbagai lokasi pelancongan dan untuk menarik minat pelabur ke negeri ini.
Sepanjang program selama tiga hari (15 - 17 Mei 2017) itu, delegasi asing dibawa melawat ke tempat menarik, melihat pembuatan produk makanan dan barangan kraftangan di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong berkata, "Mereka cukup teruja apabila dibawa ke Tasik Kenyir, Santuari Gajah di Hulu Terengganu, Taman Tamadun Islam dan Pasar Payang di Kuala Terengganu". “Usaha seumpamanya ini nyata dapat memberi gambaran jelas kepada perwakilan asing yang terlibat mengenai sektor pelancongan, kesenian, kebudayaan dan pelaburan di negeri ini.“Pada masa sama boleh mempromosi kepada pihak lain, terutama agen pelancongan di negara masing-masing.,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Bersama TYT Duta-Duta Sempena Lawatan Familiarisation Ke Terengganu di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Program julung kali diadakan anjuran Kementerian Luar Negeri itu disertai duta dan ketua perwakilan negara antaranya dari Argentina, Belgium, Maldives, Kemboja, Finland, Fiji, Nigeria, Namibia dan Senegal.