Majlis Pelancaran Buku Beautiful Terengganu & Tourism Friends

Ditulis pada .

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Penerbit Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menghasilkan sebuah buku yang diilhamkan sendiri oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Haji Ahmad Razif Abdul Rahman. Buku Beautiful Terengganu yang dilancarkan sendiri oleh YAB Menteri Besar di Dataran Shahbandar, Kompleks Sukan Negeri itu bertujuan untuk menyemarakkan lagi sektor pelancongan negeri.

Ahmad Razif berkata, buku berkenaan ditulis berasaskan tiga elemen penting dalam ‘jenama’ Terengganu iaitu ‘negeri cantik, budaya menarik dan orangnya baik-baik’. Katanya lagi, “Keunikan yang ada di Terengganu antaranya membabitkan budaya dan tradisi masyarakat, makanan serta pelbagai tempat percutian menarik ditampilkan dalam buku itu”. Buku ini akan diterbitkan dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Selain itu, buku ini juga akan diterjemahkan dalam beberapa bahasa lain antaranya bahasa Jerman, Arab selain bahasa China untuk menarik lebih ramai pelancong dari negara berkenaan mengenali Terengganu.

Pelancaran Tourism Friends turut disempurnakan oleh YAB Menteri Besar pada hari yang sama, 27 Februari 2018. Tujuan Tourism Friends ditubuhkan adalah untuk melahirkan sukarelawan yang disertai oleh golongan muda dalam lingkungan umur 21 tahun hingga 40 tahun. Seramai 500 belia yang terdiri dari pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah menjadi sahabat pelancongan sekali gus bertindak menjadi ejen mempromosikan industri pelancongan negeri.